Sunday, August 14, 2011

Memohon Pengampunan Daripada Allah SWT (Fasa Kedua Ramadan)


salam a'laik, salam ramadhan..:)

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Kita baru sahaja melalui fasa pertama Ramadan (1 - 10 Ramadan) iaitu di panggil syahrurrahmah (permulaannya rahmat) dan sekarang ini kita baru bermula fasa kedua iaitu dipanggil syahrul magfirah (pertengahaannya pengampunan) iaitu dari 11- 20 Ramadan.

Dalam fasa kedua ini Allah SWT. menerima dan memberi pengampunan kepada hamba-hamba-Nya yang merayu , berdoa dan memohon keampunan dari-Nya. Apakah ada tanda-tanda atau kesan dari fasa kedua ini yang telah memberi kesan pada kita?

Tanda Allah SWT menerima dan mengampuni hamba-hamba-Nya ialah ia merasakan dalam hati tidak mahu lagi melakukan dosa-dosa samaada besar atau kecil, menginsafi akan kesalahan-kesalahan lama yang ia telah lakukan dan terus merasai seronok dengan amal ibadah, zikrullah dan amal soleh. Dalam hati dan jiwanya merasai bahawa hidup didunia hanya sementara dan kehidupan dihari akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Didalam fikirannya terbayang-bayang kehidupan di syurga yang penuh nikmat dan juga azab neraka yang amat dahsyat sekali. Perasaan ini akan menjadi sebagai pendorong dan motivasi untuk ia terus meningkatkan amal soleh dan meninggalkan amal yang buruk dan berdosa.

Setiap kali berdoa dan bermunajat teruskan memohon ampun kepada Yang Maha Pengampun, kerana sifat ini amat disukai oleh Allah SWT. Dan kalau Allah SWT menyukai kita, akan diberi-Nya rahmat dan nikmat seluas-luas-nya , di beri-Nya pengampunan dan akan dibebaskan kita daripada siksaan api neraka.
Amalkanlah membaca doa ini sebelum membuat sebarang permohonan kepada Allah SWT agar diterima oleh-Nya.

“Ya Allah, ampunkanlah bagiku amalan yang telah kukerjakan dan apa yang akan kukerjakan, sesuatu yang aku sembunyikan dan sesuatu yang aku nyatakan, sesuatu yang tidak sengaja kulakukan dan sesuatu yang Engkau lebih mengetahuinya daripadaku. Engkaulah yang terawal dan Engkau yang terakhir, tiada Tuhan selain Engkau.”

“Ya Allah, aku pohon perlindungan daripada azab api neraka dan azab kubur dan fitnah kehidupan dan kematian dan fitnah al-Masih al-Dajjal.”

“Ya Allah, aku pohon perlindungan daripada dosa dan hutang.”

“Ya Allah, aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang besar dan tidaklah dapat mengampunkan aku melainkan Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada-Mu dan rahmatilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Sahabat yang dimuliakan,
Pada fasa ini, Allah SWT menjanjikan ampunan kepada hamba-Nya. Sepanjang digunakan secara maksima untuk ibadah. Yakni melakukan amalan-amalan yang baik sesuai dengan tuntunan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, dengan penuh kesungguhan diasaskan keimanan yang teguh, keikhlasan dalam penghambaan, dan penuh harap akan diterimanya seluruh amal ibadah kita oleh Allah SWT.

Ramadhan di fasa magfirah atau pengampunan yang harus kita lakukan adalah memperbanyak memohon ampun kepada Allah SWT. Apalagi kerana sebagai manusia yang selalu melakukan dosa, baik dosa kecil maupun besar. Momentum Ramadhan inilah sebagai peleburnya. Ampunan itu sendiri disediakan dan terbuka lebar kepada seluruh umat Islam kerana Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Orang yang memohon ampun disebut bertaubat. Sementara orang bertaubat disebut orang yang menyucikan diri. Hal itu sesuai dengan Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu . Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya ." (Surah Ash-Syams ayat 9-10)

Di fasa kedua ini banyak-banyaklah mendekatkan diri kepada-Nya melakukan taubat kepada Allah SWT. Kita hilangkan rasa iri hati, kesombongan, apalagi dendam dalam diri kita sesama saudara muslim.

Berbagai penyakit yang sering bersarang dalam hati manusia turut mendatangkan  dosa seseorang. Oleh kerana Ramadan boleh dijadikan sebagai bulan penghapus  dosa kerana Allah SWT menyediakan hal tersebut khususnya bagi orang yang mahu bertaubat secara serius. Yakni yang mahu melakukan taubat nasuha atau taubat yang bersungguh-sungguh.

Di fasa kedua ini (syahrul magfirah)  adalah malam-malam pengampunan oleh Allah SWT, teruskan berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT semoga Allah SWT menerima taubat kita yang dilakukan ikhlas semata-mata kepada-Nya. Taubat akan menjadi milik siapa saja yang melaksanakannya dengan taubat nasuha. Gunakanlah sepuluh hari ini untuk memohon ampunan kepada Allah SWT. Kita akan disucikan kembali oleh Allah SWT apabila kita mahu bertaubat.

Perkara yang perlu  dilakukan adalah memperbanyak ibadah, temasuk solat sunat. Baik solat sunat rawatib, terawih, tahajud dan solat sunat lainnya. Lalu memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir, dan beristighfar , diucapkan dengan penuh khusyuk kepada Allah SWT. Ketika mengucap istighfar fikiran dan perasaan perlu diberi penumpuan sepenuhnya kepada Allah SWT, sebaik-baiknya menangis mengalirkan air mata penyesalan, kerana air mata yang takut kepada Allah SWT akan menjadi air yang akan memadamkan kemarakan api neraka.

Orang yang mengisi malamnya dengan ibadah akan mendapat kemuliaan dari Allah SWT dalam bentuk pengampunan dosa. Sebagamana sabda Rasulullah SAW. yang diriwayatkan oleh Muttafaq ‘Alaih, yang berbunyi: “Barang siapa melakukan solat malam di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala daripada Allah, nescaya diampuni dosanya yang telah lalu.”

Sahabat yang dikasihi,
Sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT. semoga Ramadan kali ini adalah Ramadan yang terbaik yang pernah kita lalui. Peningkatan darisegi ibadah, meninggalkan semua perkara-perkara yang membatalkan puasa dan pahala puasa. Yang nikmatnya kita perolehi di Ramadan kali ini kita mememui dan menghayati dimalam Lailatul Qadar.

Permintaan saya pada kalian semua jangan lupa semasa kalian berdoa , tolong doakan saya supaya saya sentiasa sihat walafiat dan mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah SWT. dan dapat meneruskan tugas dakwah dan amanah yang diberikan-Nya kepada saya.

Saya juga akan memasukan dalam doa saya untuk kesejahteraan dan kebahagiaan kalian semua dan semoga kalian sentiasa beriman, bertakwa dan kekal didalam deen Islam dan diredai oleh Allah SWT di dunia dan akhirat. Semoga kita semua dengan rahmat dan pengampunan Allah SWT dapat bertemu di syurga nanti seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang bertakwa.

-Abu Basyer's Notes-

Saturday, August 6, 2011

Nasihat Ramadhan~


Bulan Ramadhan bulan bertuah
Bulan ibadah bulan mujahadah                                    
Bulan rahmat bulan maghfirah
Bulan al-Quran dan lailatulqadar
Besar Ramadhan dengan puasa
Diwaktu malamnya tambahkan ibadah
Bacalah al-Quran banyakkanlah sedekah
Terawikh kerjakanlah walaupun sunat
Pelihara mata jagalah telinga
Kawallah lidah dari yang sia-sia
Fikirkanlah yang mendatangkan faedah
Hubungkan hatimu dengan Allah
Zikir selawat doa panjatkan
Pahala Ramadhan diganda-gandakan
Jangan lupakan jangan lalaikan
Ramadhan tiba setahun sekali
Bulan Ramadhan bayarlah fitrah
Untuk membersihkan hati dan diri
Sebagai bantuan kepada yang susah
Agar mereka gembira di hari raya
Allahu ya Allah
Kepada Mu kami beriman
Kerana Mu kami berpuasa
Di bulan ini bulan yang mulia
Kami mohon rahmat ya Allah
Keampunan Mu wahai Tuhan
Banyakkan i’tikaf disepuluh hari terakhir
Lailatulqadar berlaku di malam itu
Kitakan mendapat pahala yang besar
Seperti beribadah seribu bulan
-HIJJAZ-